ALHAMDULILLAH
PERHATIAN
Suami yang mahu isteri bekerja dalam rumah dan mahu menambah pendapatan lumayan
BERGELAR seorang
jurutera di sebuah syarikat swasta, Sofiah Kamaruzaman, 35, teruja apabila
mendengar mengenai slot berhubung kelas jahitan langsir yang disiarkan di
sebuah stesen radio tempatan.
Segmen tajaan di
Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim.fm) itu didengari ketika dia
dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.
Walaupun dia
langsung tidak mempunyai asas dalam bidang jahitan, namun entah mengapa hati
wanita itu berkobar-kobar untuk menyertainya. Apatah lagi apabila ustazah yang
berbicara dalam segmen itu meminta para pendengar melaksanakan solat istikharah
sebelum mengikuti kelas jahitan langsir kendaliannya.
�Kali pertama mendengar slot tersebut, hati saya seolah-olah ditarik
untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kelas yang ditawarkan. Ia seperti magnet
yang menarik besi. Selepas berbincang dengan suami dan mendapat keizinannya,
saya terus mendaftarkan diri untuk kelas di Shah Alam, Selangor,� kata Sofiah mengimbas semula mengenai pengalaman tujuh tahun lalu.
Tambahnya, dengan
hanya mengikuti satu kelas jahitan langsir kendalian Ustazah Sahida Said dari
Al Mujahid Trading pada 2010 menggunakan wang pemberian suaminya, dia berjaya
memperoleh ilmu yang bermanfaat sekali gus berpeluang menambah pendapatan.
�Alhamdulillah, hingga kini tempahan menjahit langsir sentiasa ada.
Malah, saya mampu meraih pendapatan sehingga lima angka sebulan jika rajin
mengambil tempahan.
�Secara jujurnya, saya merasakan kelebihan ustazah kerana kita boleh
nampak keikhlasannya sewaktu mengajar. Malah, tidak mustahil kejayaan anak-anak
muridnya adalah disebabkan keberkatan ilmu yang diajar,� tutur Sofiah, anak kelahiran Lubok Cina, Melaka.
Kelas Jahitan
Langsir Al Mujahid diasaskan oleh Sahida, 48, bermula pada tahun 2000. Sebelum
itu, Sahida banyak mengambil upah menjahit pakaian seperti baju kurung dan baju
Melayu.
Bagaimanapun,
disebabkan beberapa masalah yang dihadapi seperti sukar mengikut kehendak
pelanggan dan mengambil masa yang lama untuk mendapatkan pelanggan selain upah
jahit yang rendah, Sahida nekad mencuba sesuatu yang baharu.
�Untuk itu, saya bermohon pada Allah agar memberi petunjuk bagaimana
mendapatkan pendapatan lumayan dengan cara yang halal. Entah bagaimana Dia
mengurniakan ilham untuk saya menjahit langsir. Masa yang digunakan singkat,
namun upahnya sangat lumayan.
Formula sendiri
�Alhamdulillah, dengan kemahiran menjahit yang dimiliki, saya berjaya
mendapatkan pelanggan pertama. Dalam tempoh seminggu menyiapkan tempahan
langsir, saya menerima bayaran RM2,800. Dari situ saya terus berazam menjadikan
ia sebagai sumber pendapatan utama,� ujar Sahida.
Bergelar ibu kepada
lima cahaya mata yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan,
Sahida mengakui kebanyakan rekaan langsir dicipta dengan teknik dan formula
tersendiri walaupun dia sendiri pernah mengikuti kursus jahitan langsir.
�Boleh dikatakan hampir kesemua formula jahitan langsir diilhamkan ketika
saya mengajar anak murid di dalam kelas dan bengkel yang dianjurkan. Ia satu
kurniaan dari Allah. Saya mengajar bukan kerana hobi tetapi mahukan pelajar
saya menjadi usahawan berjaya di dunia dan akhirat,� katanya.
Justeru, sebelum
menerima seseorang pelajar, Sahida akan menasihatkan mereka supaya melakukan
solat istikharah.
�Ketika mengajar, saya sering menekankan kepada pelajar agar sentiasa
menjaga hak Allah seperti solat pada awal waktu, membaca al-Quran dan
menghadiri majlis ilmu. Hidup tanpa berlandaskan agama, maka ia tiada makna
buat kita sebagai hamba-Nya,� lembut nada Sahida berbicara
mengenai niatnya dalam mendidik pelajar.
Menurut Sahida,
Kelas Jahitan Langsir Al Mujahid lebih menumpukan pada formula yang tepat dan
teknik menjahit yang pantas. Malah, pelajar tidak perlu membawa kain atau
peralatan menjahit kerana semuanya disediakan di dalam kelas.
Kuasai
Antara kaedah yang dipraktikkan
ketika mengajar ialah teknik jahitan tanpa menggunakan jarum peniti yang
ternyata lebih menjimatkan masa. Selain itu, Sahida turut mengajar kaedah
menjahit menggunakan mesin dan tanpa mesin kepada para pelajar.
�Semasa dalam kelas, saya akan mengajar mereka dengan sepenuh perhatian
seperti cara mengira penggunaan kain bagi setiap paten langsir, cara
menggunting dan menjahit dengan cepat.
�Melalui kaedah ini, walaupun ada pelajar yang datang dengan sifar
pengetahuan tentang jahitan, mereka pasti mampu menguasai kemahiran menjahit
langsir dengan baik,� katanya.
Pelajar yang datang
menimba ilmu dengan Sahida bukan sahaja golongan wanita, bahkan lelaki juga
menunjukkan minat. Mohd. Shaiful
Bahari Mohamad Som, 45, misalnya, merupakan pesara Tentera Laut Diraja Malaysia
(TLDM) selepas diajak oleh isterinya, Noor Sazaliza Mansur, 42, untuk belajar
bersama.
�Sebenarnya sebelum pencen, kami ada mengikuti kursus dalam bidang
jahitan di Kolej Komuniti. Ia termasuklah menjahit langsir dan telekung.
Justeru, apabila �berguru� pula dengan ustazah, kami sangat berpuas hati kerana ilmu yang dikongsi
sedikit berbeza dengan apa yang telah dipelajari.
�Selain itu, bahan-bahan untuk menjahit langsir semuanya ustazah sediakan
dan ia berkualiti tinggi. Paling penting, ustazah menekankan bahawa jahitan
perlu kemas,� kata Mohd. Shaiful yang kini menetap
di Seri Manjung, Perak dan mempunyai tempahan tetap menjahit langsir setiap
bulan.
Sementara itu,
eksekutif teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta di ibu negara, Saliyani
Mohd. Samsudin, 45, memberitahu, dia mula mengikuti kursus menjahit langsir
bersama Sahida pada tahun 2012.
�Memang mudah untuk belajar dengan formula dan teknik yang ustazah
berikan. Mula-mula, saya hanya menjahit langsir untuk rumah sendiri,
lama-kelamaan banyak pula tempahan diterima membuatkan saya teruja melakukan
aktiviti itu sebagai cara menambah pendapatan sampingan,� ujarnya.
Kini, hampir 17
tahun selepas penubuhan Al Mujahid Trading, Sahida mempunyai beribu-ribu
pelajar yang datang berguru dengannya.
Salur dana
Kejayaan itu
hakikatnya turut disusuli dengan matlamat Sahida membantu menyalurkan dana
dalam pembinaan masjid-masjid dan madrasah-madrasah oleh tuan gurunya hasil
daripada perniagaan yang dijalankan.
Dalam kalangan
pelajarnya, kesemua mereka telah menetapkan sebanyak 20 peratus daripada nilai
upah yang diterima dalam tempahan menjahit langsir, akan disalurkan bagi tujuan
tersebut.
�Sejujurnya, impian saya dalam bidang ini adalah untuk melahirkan
usahawan yang mampu membantu fisabilillah dalam menegakkan syiar Islam kerana
itulah matlamat utama saya ketika memulakan perniagaan ini.
�Oleh itu, saya akan terus mengajar selagi ada jihad fisabilillah untuk
dibantu. Apabila mengenangkan ulama tidak pernah berhenti berdakwah dalam
mengajak manusia mengenal Allah, maka saya juga akan teruskan usaha mencari
dana untuk membantu mereka,� ungkapnya menutup bicara.
Artikel lengkap di Kosmo





















