Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Sukarkah nak ikhlas dengan suami? Bagi diri saya sendiri, berdasarkan pengalaman saya
sendiri. Memang saya tidak nafikan suami saya seorang suami yang
bertanggungjawab. Namun, Allah takdirkan rezeki yang diperoleh kurang mencukupi
dalam menjalani kehidupan pada zaman sekarang. Kita isteri zaman sekarang tidak
sama seperti isteri zaman dahulu yang sanggup terima seadanya sahaja. Kita
isteri zaman sekarang, isteri yang perlu semua. Perlu lengkap. Perlu ada semua.
Tetapi suami kita tidak mampu. Tidak mampu di sini bukan bermaksud tidak
mampu secara total tetapi tidak mampu menyediakan yang lebih baik.
Perumpamaannya, suami kita mampu membeli ikan yang kecil-kecil tetapi ikan yang
kecil-kecil itu pada zaman ini harganya tinggi. Jadi, suami kita telah berusaha
tetapi tidak mampu.
Puan-puan, di sinilah ANUGERAH yang Allah berikan kepada
kita para isteri. Apabila suami kita tidak mampu, Allah telah membuka peluang yang sangat luas untuk isteri
bersedekah. Contohnya diri saya sendiri. Kadang-kadang saya sebagai manusia
biasa, saya akan menjadi isteri yang sangat kedekut. Kadang-kadang saya akan
menjadi isteri yang sangat pemurah.
Isu yang saya nampak di sini, bukanlah kedekut atau tidak ikhlas. Sebenarnya yang kita nak adalah perhatian suami. Bagi diri saya
sendiri, saya memang ikhlas kepada suami. Saya boleh bagi itu. Saya boleh bagi
ini. Jika suami tidak nampak, maksud saya bukan tidak menghargai tetapi tidak
melayan kita dari segi emosi kita, dari segi pelukan ataupun dari segi
perhatian. Bila ini berlaku, kita akan mengungkit. Sedangkan yang kita ungkit itu
hanya di mulut bukan di hati. Saya
percaya semua isteri sebegitu. Isteri-isteri ini sebenarnya kesepian.
Mereka perlukan belaian. Mereka tidak perlukan wang. Malangnya suami-suami ini
masalahnya ego. Mereka yang telah dibantu oleh isteri, tidak memberikan layanan
yang terbaik kepada isteri. Itu masalahnya. Jadi, yang saya nampak di sini,
isteri sebenarnya bukan kedekut. Isteri bukan tidak
ikhlas. Isteri sebenarnya ikhlas. Yang mereka perlukan sebenarnya ialah belaian
suami. Oleh sebab itu, kita mesti berjihad melawan syaitan. Apabila kita
berjihad melawan syaitan, kita akan mendapat keikhlasan.
Sebab kedua, selain perlukan belaian dan perhatian
suami, kita bukannya perlukan yang berlebihan sebenarnya. Kita hanya mahu
mereka nampak kewujudan kita. Cuma yang membuatkan kita tidak
ikhlas apabila suami ini mengambil kesempatan. Maksudnya, setiap bulan kitalah
yang membayar bil. Setiap bulan, kitalah yang top-up barangan di dapur dan
sebagainya. Apabila ini berlaku, kita berbalik kepada niat awal
kita. Apakah niat awal kita sewaktu kita membantu suami? Kita inginkan PAHALA kan?
Inilah kerja syaitan sebenarnya. Syaitan menjalankan jarumnya sehingga kepada
abid-abid.
Jadi mustahil kita seorang isteri yang biasa-biasa sahaja
ini, yang solat pun ala kadar. Yang solat pun tidak ada tambahan solat sunat.
Yang mengaji pun sikit-sikit sahaja. Takkanlah tidak diuji dengan syaitan.
Takkanlah tidak dijolok dengan syaitan. Sebenarnya, yang menyebabkan kita tidak
ikhlas adalah sebab kita dirasuki syaitan. Kita telah membiarkan syaitan
menguasai darah dalam diri kita. Oleh sebab itu, kita mesti berjihad melawan syaitan. Apabila kita
berjihad melawan syaitan, kita akan mendapat keikhlasan. Sebab di akhirat
nanti, Allah tahu kita ikhlas atau tidak.
Kita hendak pahala, kita hendak masuk syurga, kita hendak
berdiri bersama dengan para sahabiyyah radiallahuanhum, jadi tentulah kita
perlu ikhlas. Kenapa kita tidak ikhlas. Semuanya kerana kita gagal melawan
nafsu. Kita gagal melawan syaitan yang berada di dalam diri kita sendiri.
Ada ketikanya para isteri ini inginkan
suami mereka mengucapkan terima kasih. Itu ada logiknya. Sebagai isteri, kita
memang perlukan suami kita sekali sahaja ucapkan terima kasih. "Terima
kasih, yang" "Terima kasih, umi" "Alhamdulillah, dengan
adanya isteri abang yang baik ini, ringan sedikit bebanan abang".
Tetapi masalahnya, suami kita
bukannya suami jenis Melayu terakhir. Suami kita bukan suami seperti dalam
drama. Suami kita bukan seperti suami dalam filem. Kita ini para isteri
sebenarnya telah terpengaruh dengan watak lelaki-lelaki romantis. Lelaki-lelaki yang hebat
seperti dalam filem, yang memandang isterinya dengan penuh syahdu. Datang dari
belakang peluk isteri. Angan-angan sahaja jika kita harapkan begitu.
Begini, kita perlukan suami kita
ucapkan terima kasih tetapi suami kita sukar mengucapkan terima kasih. Di sini
saya bagi satu tip, tip ini membuatkan saya berasa aman dan bahagia tanpa
ucapan terima kasih daripada suami.
Dulu, dan sekarang juga bila
syaitan merajai diri saya, saya akan teringin kata-kata terima kasih. Jadi saya
telah menanam dalam diri saya sendiri iaitu saya bersyukur kepada Allah SWT
bahawa dengan asbab saya menolong suami saya, asbab saya meringankan bebanan
suami saya, asbab bila suami saya letak sahaja kepala dia akan lena. Allah
memberikan macam-macam kepada saya. Saya mendapat sesuatu yang orang lain tidak
dapat. Asbab saya ikhlas. Contohnya, betapa ramai isteri-isteri di luar sana,
sahabat-sahabat yang kehidupan mereka begitu sukar. Berniaga, berniaga juga.
Bekerja, bekerja juga. Tapi duit tak cukup. Kenapa? Kita kena tanya kepada diri
kita. Kenapa kita tolong suami kita tetapi kita tidak ikhlas 100%. Sebenarnya
kita kena ikhlas. Bukan kerana terpaksa. Bukan berkira-kira. Sebab jika kita
berkira-kira, Allah akan berkira-kira dengan kita. Contoh diri saya sendiri, masya-Allah,
tabarakallah. Saya ingin pergi umrah, Allah sediakan. Saya ingin duduk hotel 5
star melihat Kaabah dari tingkap bilik saya, Allah sediakan. Dari mana
datangnya duit saya, mungkin asbab saya ikhlas. Jadi, puan-puan, jika ingin
mendapat lebih ganjaran yang Allah janjikan yakni lipatan kali ganda, bermakna
puan-puan kena ikhlas.
Sekali kita tolong suami.
Seolah-olah kita telah menumbuhkan sebiji benih. Daripada satu pertolongan itu, Allah
tumbuhkan sehingga 700 ganjaran. Daripada 700 ganjaran itu diganda-ganda-gandakan
lagi. Jadi itulah yang saya alami. Jika puan-puan ingin rasa bahagia, inginkan
Allah bagi macam-macam, ikhlas sahaja. Memang boleh merungut tapi tolong, merungut hanya di bibir, jangan di hati. Sebab Allah tahu ikhlas
kita. Kalau kita merungut, di hati pun tidak ikhlas, jadi sia-sialah. Kita akan
rugi di dunia dan juga di akhirat.
Percayalah puan-puan kita akan
mendapat lipatan kali ganda. Sebab saya sendiri mendapat lipatan kali ganda
ganjaran demi ganjaran yang Allah berikan yang saya tidak bayangkan. Antara
ganjaran yang Allah berikan ialah saya berasa bahagia. Sebab apa saya bahagia.
Sebab saya masih ada suami. Kata
seorang sahabat saya yang kematian suami, andailah perlu dibayar nilai seorang
suami dia akan sanggup membayar nilai nyawa seorang suami. Kerana suami yang
telah diambil semula oleh Allah itu telah menjadi kosong sedangkan beliau jika
dia hidup dia berkira-kira dan bila mati dia tidak dapat beli, alangkah baik
suami itu dibeli agar dapat bersama sepanjang hidup.
Tak apalah hari ini orang tak
hargai kita. Tak apalah orang tak pandang kita. Asalkan Allah pandang kita.
Ingat, asalkan Allah pandang kita. Apa perlu suami kita pandang. Apa perlu
keluarga kita pandang. Apa perlu anak-anak pandang kita. Apa perlu seluruh
dunia pandang kita, jika Allah tak pandang kita. Kita tak harap lagi pujian
suami. Kita inginkan pahala dalam rumah tangga yang banyak dengan tolong suami.
Kita mahu pandangan Allah. Kita
sedekah kepada suami, ikhlas dengan suami tanpa perlu keredhoaannya. Yang kita
harapkan hanya keredhoan Allah. Mana tahu puan-puan jika
bangun di masyhar kita dimasukkan ke syurga. Allah panggil, wahai isteri-isteri
yang ikhlas kepada suaminya, datanglah ke sini wahai isteri-isteri yang ikhlas
menolong suaminya, datang ke sini wahai isteri-isteri yang redho kepada suaminya’. Masa itu,
beruntungnya isteri-isteri yang ikhlas kepada suami.
Baik puan-puan, masih belum
terlambat. Hari ini kita mulakan. Kita ingin pandangan Allah. Kita inginkan
kasih sayang Allah. Kita nak Allah pandang kita. Maka, kita ketepikan perasaan
kecewa kita kepada suami kita. Alhamdulillah Allah bagi suami kita itu sebagai
ujian untuk kita. Semua orang ada ujian yang pelbagai. Suami kita tidak
menyeksa kita. Suami kita tidak menyeksa jiwa kita. Tidak menyeksa batin kita.
Tidak menyeksa badan kita. Hanya menyeksa dari segi tak cukup. Saya percaya
sebenarnya suami kita seorang yang baik. Cuma sebab tak cukup kita membantu
suami kita. Suami kita pula membatukan dirinya. Maksudnya buat-buat lupa. Jadi
kita ikhlaskan bantu suami kita sebab kita tentu tidak mahu jika kita dipanggil
masuk ke syurga dan melihat suami kita di dalam neraka asbab kita tidak redho
dengan pertolongan kita.
Moga puan-puan, kita dimasukkan
ke syurga, saat kita melangkah ke syurga, kita mendengar satu suara yang amat
kita kenal di dunia. Apabila kita berpaling, kita lihat suami kita yang
sepatutnya masuk ke syurga, diheret oleh malaikat ke neraka. Diheret masuk ke
neraka. Kerana apa? Kerana gagal menjalankan tanggungjawabnya kepada isteri
yang tidak ikhlas kepadanya. Sanggupkah?
No comments:
Post a Comment